Pages

Sunday, February 22, 2009

JEJAK KINABALU 2009

Salam untuk semua....Projek MEGA PPIM 2009 ini diharapkan dapat meletakkan PPIM Negeri Sabah setanding dengan unit gabungan dalam menjayakan program prestasi tinggi setinggi Kinabalu ini. Projek kini merupakan cabaran untuk JK Pentadbir negeri yang bakal diuruskan oleh Unit Sukan & Rekreasi diketuai oleh Puan DK Saadiah Hj Ampuan Alimat dibantu oleh Pengerusi Teknik PPIM Negeri Sabah, Cik Halimah Abd Rahman bersama JK bersama beliau. Idea terhasilnya projek ini timbul untuk membawa ahli puteri dan guru pemimpin di negeri Sabah ini mengalami sendiri pengalaman "berada Kinabalu"di Puncak gunung tertinggi di Asia Tenggara ini pada mulanya daripada hasil perbincangan mereka berdua "Expedisi Puteri PPIM Kinabalu" ini disenaraimasuk ke dalam Takwim Aktiviti PPIM Negeri Sabah dan nama program diilhamkan oleh Setiausaha Kehormat Negeri Puan Dg Rukayah Hj Ampuan Mahmun. Beliau turut memberi cadangan pengisian program ini malah beliau ingin melihat program ini dijayakan dan ditawarkan pada peringkat Kebangsaan di mana PPIM setiap Negeri mewakilkan seorang atau dua ahli puteri atau pemimpin yang mantap beraksi hingga ke puncak Kinabalu. Difahamkan hanya 20 peserta akan membuat pendakian manakala peserta yang lainnya akan menyertai aktiviti lasak dan riadah yang lain di kaki Gunung Kinabalu. Bertapa gah pun projek Mega PPIM 2009 ini tidak akan menjadi realiti seandainya tidak mendapat tempat di hati semua. Oleh yang demikian sekiranya ada sesiapa yang berminat untuk menyumbangkan idea dan berkongsi pandangan dari cadangan aktiviti peserta di kaki gunung kami amat alu-alukan. Pandangan kita mungkin berbeza namun pandangan berbeza yang positif mungkin mampu menghasilkan hasil yang lumayan dan bermakna buat semua. Kerjasama semua dalam memberikan padangan amat kami hargai. Andainya anda pernah melaksana berada "di puncak" ini marilah turun ke lembah memberikan kekuatan kepada PPIM dalam usaha melaksanakan projek ini. Wassalam.

Thursday, February 19, 2009

PPIM Perhubungan Daerah Membakut bergerak seiring

Berikutan penstrukturan semula Jabatan Pelajaran Sabah, PPD Membakut yang telah dibahagikan kepada 2 iaitu sebahagian sekolah masuk ke Daerah Papar kerana memang dalam daerah tersebut dan sebahagian lagi diserahkan dibawah urusan PPD Beaufort mulai tahun ini.Perkara ini telah menimbulkan tandatanya yang cukup besar dengan persoalan..perlukah PPIM Perhubungan Daerah Membakut wujud atau dibubarkan sahaja..??? Apabila dirujuk kepada Setiausaha Kehormat PPIM Perhubungan Negeri Sabah beliau memaklumkan Pergerakan Puteri Islam Malaysia adalah sebuah NGO (organisasi bukan kerajaan) dalam kumpulan unit beruniform dan didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan(ROS) oleh itu meskipun ahli puteri dan pemimpin terlibat secara terus dengan Jabatan Pelajaran, tidak ada masalahnya PPIM diteruskan apatah lagi mempunyai ahli Puteri yang aktif serta pemimpin yang mampu menjadikan impian menjadi realiti, baik dari segi aktiviti mahupun di bidang pengurusan pentadbiran dengan kehadiran jurulatih yang berkeliber dan bersemangat tinggi.

PPIM PD Membakut terus wujud

Jawatankuasa Pentadbir Pergerakan Puteri Islam Perhubungan Daerah Membakut telah mengadakan mesyuarat kali ke 2 pada 17 Februari 2009 yang lalu bertempat di SMK Membakut II, Membakut. Walaupun kini PPIM Daerah tersebut kehilangan sebilangan besar PPIM Sekolah yang aktif berikutan penstrukturan semula sekolah-sekolah di bawah Jabatan Pelajaran namun PPIM Perhubungan Daerah Membakut akan terus beusaha dengan 8 buah PPIM Sekolah Rendah iaitu PPIM : SK Pekan Membakut, SK Pg Jaya Pimping, SK Binsulok, SK Kg Brunei, SK Saga-saga, SK Bandau, SJK(C) Pei Yin dan SK St Patrick manakala 3 buah PPIM Sekolah Menengah ialah SMK Membakut, SMK Membakut II dan SMK St Patrick. Kesemua sekolah ini berada di sekitar Daerah Kecil Membakut dan berada di bawah seliaan Pejabat Pelajaran Daerah Beaufort. PPIM Daerah ini dipengerusikan oleh Puan Salawati Hj Ghazali dibantu oleh Naib Pengerusi Puan Shaharoom Hj Hashim. Setiausaha Kehormat Daerah ialah Cik Juliah Ismail dan Bendahari Kehormat PPIM Daerah dijawat oleh Cik Dg Norizan Ag. Salleh. Mesyuarat kali ke 2 ini menjadi titik tolak bagi memperkukuhkan lagi usaha membina PPIM Daerah ini terus maju dan dapat bersaing dengan PPIM Daerah yang lebih besar. Turut hadir dalam mesyuarat ini ialah Cik Hjh Siti Ajar Hj Ali Hasan, Setiausaha Kehormat PPIM Bahagian Beaufort dan AJK PPIM Negeri yang juga Exco Majlis Belia Sabah, Puan DK Saadiah Hj Ampuan Alimat.

MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KE 15 PPIM NEGERI SABAH

Setiausaha Kehormat PPIM Negeri Sabah Puan Dg Rukayah Hj Awang Mahmun memaklumkan pada 21 Februari 2009 akan berlangsung Mesyuarat Agung Tahunan PPIM Negeri Sabah kali ke 15. Kali ini, mesyuarat tersebut telah diadakan di SK Lahad Datu II. Mesyuarat ini telah dirasmikan oleh Datuk Normah Gagoh, Pengarah Pelajaran Negeri Sabah yang juga merangkap Pengerusi Bersama PPIM Perhubungan Negeri Sabah. Beliau mengingatkan seharusnya guru pemimpin melaksanakan tanggungjawab sebagai guru pemimpin PPIM dengan penuh tanggungjawab di samping tidak lupa akan core-business seorang guru. Menurut beliau sekiranya guru hanya melaksanakan ala kadar sahaja pasti hasilnya juga sekadar ala kadar juga. Beliau menyeru agar PPIM mampu bersaing dengan unit lain malah mungkin lebih baik dan menjadikan PPIM sebagai satu saluran membantu usaha membendung gejala sosial yang semakin berleluasa kini.


Mesyuarat ini dihadiri oleh lebih 120 orang guru pemimpin PPIM dari seluruh negeri Sabah yang terdiri dari 8 bahagian. Terdahulu dari itu berlangsung Seminar Pemantapan Pengurusan Pentadbiran PPIM yang disampaikan oleh Puan Dg Rukayah, Setiausaha Kehormat PPIM negeri Sabah yang juga seorang Jurulatih PPIM Negeri Sabah dan Puan DK Saadiah Hj Ampuan Alimat, AJK & Jurulatih PPIM Negeri Sabah yang juga AJK Majlis Tertinggi Majlis Belia Sabah.

Selaku hos mesyuarat kali ini PPIM Bahagian Lahad Datu sebuah persatuan yang baru (setelah dipisahkan daripada Bahagian Tawau) mempersiapkan lokasi mesyuarat di samping penginapan kepada semua yang hadir. Diketuai oleh Pengerusi PPIM,
antara 120 orang pemimpin yang hadir
Cik Hjh Saida Hj Othman dibantu oleh Setiausaha Kehormatnya Puan Normah Magharibi bekerja keras bersama Jawatankuasanya bagi mempastikan majlis ini berjalan lancar. Beberapa Usul yang akan dibincangkan kali ini menjurus kepada kepimpinan yang lebih mantap, ketelusan pengurusan dan pentadbiran yang proaktif serta usaha memperkasakan pelapis pemimpin PPIM diketengahkan bagi mempastikan PPIM mampu berswadaya dengan unit beruniform yang lain.
kelihatan antara ahli puteri dan guru pemimpin yang turut hadir...
Kumpulan Kompang PPIM SK Lahad Datu 4 bersama guru pengiring yang turut memeriahkan Majlis Perasmian Penutupan Mesyuarat tersebut.

Wednesday, February 18, 2009

PPIM NEGERI SABAH KINI ADA BLOG


PPIM NEGERI SABAH KINI ADA BLOG..
Pergerakan Puteri Islam Malaysia Perhubungan Negeri Sabah memerlukan media untuk bersemuka secara maya. Kini, di ruang yang terbuka ini kita boleh berhubung untuk berkongsi pendapat, bertanya khabar dan malah mendapatkan maklumat jika perlu..yang tahu memberitahu yang tak tahu mencari cara untuk tahu dan buangkan sikap tak mahu tahu... di sini dipersilakan memberikan idea, berkongsi pandangan agar pandangan kita semakin luas seluas mata memandang...selamat sama-sama kita menjayakan..